Pindahmilik hartanah adalah satu proses untuk mendaftar pemilikan ke atas hartanah. Dalam bahasa pasar masyarakat Malaysia, proses ini disebut sebagai proses tukar nama pada geran tanah. Proses ini berlaku samada melalui transaksi Jual Beli Hartanah atau pemberian hartanah sebagai hadiah atau pemberian hartanah tanpa balasan. Objektif utama artikel ini adalah menerangkan secara ringkas langkah-langkah yang terlibat dalam proses pindahmilik hartanah yang melibatkan hartanah yang telah mempunyai hakmilik individu.
LANGKAH PERTAMA: TANDATANGAN BORANG PINDAHMILIK (BORANG 14A KANUN TANAH NEGARA)
Sekiranya urusan pindahmilik hartanah diuruskan oleh peguam, carian persendirian akan dibuat terhadap hakmilik tersebut bagi mengenalpasti sekiranya hakmilik hartanah tersebut tertakluk dalam kawasan rizab Melayu. Untuk hakmilik yang berada dalam kawasan rizab Melayu, sesi tandatangan borang 14A hanya sah sekiranya ianya disaksikan oleh Pegawai Daerah. Untuk proses tandatangan, kedua-dua pemilik hartanah yang ingin melakukan pemindahan hakmilik dan juga penerima hakmilik perlu menandatangani dokumen pindahmilik yang dinamakan sebagai Borang 14A (Borang Pindahmilik Hartanah).
LANGKAH KEDUA: PENYETEMAN BORANG 14A
Seterusnya, borang 14A yang telah disaksikan tandatangannya akan dimuatnaik ke sistem penyeteman dalam rangkaian jaringan web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ditentukan nilai duti setem. Proses ini dinamakan proses adjudikasi bagi penyeteman dokumen. Terdapat beberapa dokumen sampingan yang perlu dimuatnaik ke sistem tersebut bergantung pada keadaan kes pindahmilih hartanah tersebut. Pihak LHDN akan mentaksir nilai duti setem berpandukan nilai pasaran hartanah tersebut oleh Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta.
LANGKAH KETIGA: PENDAFTARAN BORANG 14A
Selepas urusan penyeteman Borang 14A selesai, Borang 14A akan dihantar ke Pejabat Tanah yang berkenaan bersama dengan Hakmilik Tanah Asal dan Pelan Tanah untuk didaftarkan pemilikannya ke atas penerima pindahmilik.
Kesimpulannya, proses pindahmilik hartanah bukanlah proses yang boleh diselesaikan dalam masa sehari di pejabat tanah walaupun sesi tandatangan Borang Pindahmilik oleh pemberi pindahmilik dan penerima pindahmilik tersebut disaksikan oleh Pegawai Daerah, bahkan ianya melibatkan proses-proses yang lain untuk membolehkan dokumen tersebut berjaya didaftarkan di pejabat tanah berkenaan. Pelantikan guaman untuk mengendalikan proses tersebut amatlah digalakkan bagi mengelakkan risiko penolakan dokumen oleh pihak pejabat tanah semasa pendaftaran pindahmilik di Pejabat Tanah.



