Ditulis oleh: Zahidah Zulkapli
14/06/2024, 6.00pm
Pemilihan peguam yang mewakili anda bagi urusan pembiayaan LPPSA adalah sangat penting memandangkan tidak semua peguam berpengalaman dan arif tentang dokumentasi dan prosedur yang ditetapkan oleh LPPSA. Jadi untuk mengelakkan masalah maupun kelewatan di dalam urusan jual beli hartanah, anda perlu lah memastikan peguam yang dilantik adalah tepat. Berikut adalah beberapa tips untuk membantu anda dalam mencari peguam LPPSA yang tepat.
Pertama, pastikan firma guaman tersebut adalah panel peguam LPPSA. Anda boleh membuat semakan melalui lawan web rasmi LPPSA untuk mendapatkan senarai peguam berdaftar yang disenaraikan di bawah LPPSA.
Kedua, anda boleh menyemak ulasan atau review daripada klien terdahulu firma guaman tersebut di laman web seperti Google Reviews bagi mendapatkan gambaran tentang pengalaman-pengalaman mereka yang telah pun mengguna perkhidmatan firma guaman tersebut.
Ketiga, anda juga boleh merujuk rakan-rakan atau keluarga yang pernah membeli hartanah dengan pembiayaan LPPSA. Sebagai penjawat awam, rakan-rakan kerja di jabatan yang sama adalah yang terdekat dan mudah untuk anda tanyakan memandangkan anda juga akan berurusan dengan pihak pengurusan yang sama. Oleh itu, anda boleh tanyakan pengalaman perkhidmatan peguam yang telah mereka lantik bagi memudahkan pemilihan peguam anda. Semestinya rekomendasi daripada orang yang terdekat dan dipercayai adalah sumber maklumat yang benar.
Keempat, lakukan saringan firma guaman berdasarkan kepakaran bidang guaman hartanah atau ‘conveyancing’. Ianya yang boleh disemak oleh anda melalui lawan web rasmi Majlis Peguam Malaysia dan lawan web rasmi LPPSA. Penting bagi anda untuk memastikan peguam tersebut arif dan berpengalaman di dalam transaksi jual beli hartanah dan dokumentasi pembiayaan khususnya LPPSA.
Kelima, dapatkan sebutharga kos guaman SPA dan pinjaman LPPSA daripada firma guaman tersebut. Pastikan anda faham dan jelas berkenaan caj-caj yang dikenakan bagi proses jual beli hartanah serta dokumentasi pembiayaan anda. Semasa dalam proses penjelasan sebutharga kos guaman tersebut, anda juga boleh tanyakan prosedur permohonan pembiayaan LPPSA dan dokumentasi yang terlibat bagi menyemak dan memastikan kearifan peguam tersebut di dalam urusan jual beli hartanah dan pembiayaan LPPSA.
Keenam, lakukan siasatan tambahan ke atas peguam-peguam di bawah firma guaman melalui laman web dan semua medium media sosial firma guaman tersebut. Kebiasaannya laman web firma guaman ada menyenaraikan senarai nama dan bidang kepakaran peguam-peguam tersebut. Jadi, anda boleh lah menyemak dan memastikan peguam-peguam di firma guaman tersebut pernah mengendalikan urusan pembiayaan LPPSA.
Akhir kata, semoga tips di atas dapat membantu anda dalam membuat pemilihan peguam LPPSA yang tepat bagi memastikan tiada masalah dan kelewatan di dalam urusan pembelian hartanah anda. Malah, pemilihan peguam yang tepat juga dapat memudahkan dan melancarkan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang tidak dijangka. Sekian, terima kasih.



