Ramai pembeli rumah tertanya-tanya tentang apa yang sebenarnya dibayar oleh mereka kepada pihak peguam semasa proses jual beli berlangsung. Sebagai pembeli, secara umumnya terdapat 2 bil yang perlu dibayar, iaitu bil guaman bagi perjanjian jual beli (SPA) dan juga bil guaman bagi pinjaman.
Berikut merupakan penerangan ringkas tentang perkara yang diambil kira oleh peguam semasa penyediaan bil guaman kepada pembeli.
Fi guaman
Fi guaman telah ditetapkan oleh Solicitor Remuneration Order di mana peguam tidak boleh meletakkan fi sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, Peguam akan mengambil 1.25% daripada harga jualan rumah bagi fi perjanjian jual beli. Fi-fi lain seperti fi pinjaman, sekatan kepentingan, pengisian cukai keuntungan harta tanah juga diambil mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Solicitor Remuneration Order.
Bayaran pendaftaran di pejabat tanah
Bayaran ini tidak sama bagi setiap negeri kerana bayaran pendaftaran berbeza mengikut enakmen-enakmen negeri masing-masing. Bayaran yang berbeza juga bagi hal berbeza. Sesetengah perkara juga mempunyai bayaran yang berbeza mengikut harga hartanah yang dibeli. Sebagai contoh, harga jualan rumah bernilai RM400,000 – RM 500,000 perlu dibayar sebanyak RM450 kepada pejabat tanah di Terengganu bagi tunjuk mendaftarkan boring 14A.
Bayaran kepada LHDN
Sebagai pembeli hartanah, kita perlu membayar duti setem kepada LHDN untuk mendapatkan sijil setem bagi membolehkan pendaftaran hartanah yang dibeli di pejabat tanah. Sebagai contoh, boring pindahmilik (Borang 14A) dan dokumen pinjaman perlu dibayar kepada LHDN. Bayaran akan dikira mengikut harga rumah yang dibeli atau mengikut nilai pasaran (mana-mana nilai yang lebih tinggi). Bagi pembeli rumah pertama, mereka akan mendapat pengecualian duti setem, tetapi bagi pembeli rumah kedua dan seterusnya, tiada lagi pengecualian yang boleh digunakan.
Bayaran bagi mendapatkan cop di pesuruhjaya sumpah
Kebanyakan dokumen seperti Surat Akuan memerlukan cop daripada pesuruh jaya sumpah. Peguam akan terus memasukkan kos bagi mendapatkan cop pesuruhjaya sumpah dalam bil guaman pembeli.
Travelling charge
Kebanyakan firma guaman menggunakan runner untuk membantu mereka mendaftar di pejabat tanah, menghantar dan mengambil dokumen di mana-mana pejabat seperti pejabat tanah, bank, LHDN, pejabat penilai dan sebagainya. Jadi, kos-kos seperti ini juga perlu ada bagi memastikan dokumen dapat diambil dan dihantar dengan segera.
Kos pengeposan
Bagi dokumen yang perlu dihantar jauh di luar kawasan sekitar firma guaman, kebiasaannya dokumen tersebut akan diposkan menggunakan servis dari pejabat pos. jadi, kos pengeposan juga diambil kira kerana dokumen-dokumen yang banyak dan tebal ini akan dikira mengikut berat dan ketebalan dokumen yang dihantar.
Bayaran cetakan, kertas dll
Umum diketahui dokumen-dokumen yang terlibat merupakan dokumen yang tebal dan bagi setiap kes, kebiasaannya lebih daripada 200 helai kertas digunakan. Jadi, kos-kos ini juga perlu dimasukkan dalam bil pembeli. Tidak lupa juga kos untuk memastikan mesin cetakan dan fotostat berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa diservis pada tarikh yang ditetapkan.
Demikianlah kos-kos yang perlu dimasukkan dalam bil guaman pembeli. Namun, perkara-perkara yang disenaraikan adalah secara umum sahaja. Senarai yang lebih mendalam dan spesifik bergantung kepada jenis kes masing-masing. Semakin rumit kes anda, semakin banyaklah kos yang perlu ditanggung untuk memastikan proses jual beli dapat dijalankan dengan sempurna. Anda bole bertanya kepada peguam anda tentang sebarang soalan terhadap bil guaman anda.



