Membeli rumah pertama merupakan satu pencapaian besar, namun tanpa pengetahuan yang mencukupi, pembeli mudah melakukan kesilapan yang boleh memberi kesan jangka panjang dari sudut kewangan dan perundangan. Berikut antara kesilapan lazim yang sering berlaku dalam kalangan pembeli rumah pertama berserta kes kes yang sebenar dan yang pernah berlaku di Malaysia.
Antara kesilapan utama ialah tidak memahami status hakmilik pegangan bebas (freehold) dan pajakan (leasehold). Pegangan bebas memberikan pemilikan tanpa had tempoh, manakala pajakan mempunyai tempoh tertentu dan mungkin melibatkan kos tambahan seperti bayaran lanjutan pajakan serta kelulusan pihak berkuasa negeri. Kekeliruan ini boleh menjejaskan nilai hartanah dan urusan masa hadapan.
Selain itu, ramai pembeli tidak memahami perbezaan antara hakmilik induk, hakmilik individu dan hakmilik strata. Hakmilik induk bermaksud unit masih berada di bawah satu geran utama ataupun Master Title, manakala hakmilik individu dan strata memberikan pemilikan yang sudah dipecahkan kepada pemilik. Kegagalan memahami perkara ini boleh melambatkan urusan jual beli dan menimbulkan isu semasa pembiayaan atau penjualan semula. Selain itu, sekiranya hakmilik induk telah dipecahkan menjadi hakmilik individu/strata, pembeli perlu mengeluarkan kos untuk Perfection of Transfer and Charge.
Kesilapan seterusnya ialah tidak menggunapakai pengecualian atau pengurangan duti setem untuk pembeli rumah pertama yang disediakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Insentif ini boleh menjimatkan ribuan ringgit, namun sering terlepas pandang akibat kurang mendapatkan nasihat guaman atau tidak peka dengan maklumat terkini.
Pembeli juga kerap tidak mengambil kira kos tambahan selain harga rumah, seperti yuran guaman perjanjian jual beli, yuran guaman pinjaman, kos ubah suai, pembaikan kerosakan, utiliti, cukai pintu, cukai tanah serta yuran penyelenggaraan. Perancangan kewangan yang tidak menyeluruh boleh menyebabkan beban kewangan semasa dan selepas pembelian.
Di samping itu, tidak memahami atau menyemak kawasan perumahan merupakan kesilapan serius. Faktor seperti akses jalan, kemudahan awam, status pembangunan sekeliling, kadar jenayah, serta potensi banjir atau gangguan alam sekitar perlu diteliti sebelum membuat keputusan.
Kesilapan lain yang relevan termasuk tidak menyemak terma perjanjian jual beli dengan teliti, terlalu bergantung kepada ejen tanpa mendapatkan nasihat guaman bebas, serta membuat keputusan terburu-buru kerana tekanan promosi. Sebagai pembeli rumah pertama, mendapatkan maklumat yang betul dan nasihat profesional adalah langkah penting bagi memastikan pelaburan yang selamat dan berbaloi dalam jangka panjang.



