Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan penjawat awam. LPPSA yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) telah berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2016.
LPPSA mempunyai peranan-peranan penting untuk menguruskan pembiayaan perumahan kepada mereka yang berkhidmat di bawah sektor dan perkhidmatan awam, memberikan nasihat kepada Menteri Kewangan tentang perkara yang berhubungan dengan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam serta manjalankan perkara-perkara lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015 (Akta 767). Setelah hamper 10 tahun penubuhannya, LPPSA telah menjalankan peranan-peranannya dengan sangat baik dan telah membantu ramai penjawat awam untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Di dalam menjalankan peranannya tersebut di atas, terdapat panel peguam berdaftar LPPSA bertauliah yang diamanahkan untuk membantu penjawat awam yang memenuhi syarat kelayakan permohonan yang ditetapkan LPPSA untuk membuat pinjaman dari LPPSA serta panel peguam ini juga telah menerima latihan, pentauliahan, pendedahan dan memahami proses dan prosedur yang ditetapkan oleh LPPSA. Ianya adalah penting bagi memastikan peguam yang mewakili LPPSA dan peminjam memahami proses yang terlibat dan melaksanakan transaksi yang berkaitan dengan betul, efisien serta melindungi kepentingan semua pihak.
Barisan peguam atau firma guaman yang dilantik oleh LPPSA ini adalah berdasarkan kuasa yang telah diberikan oleh Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015 (Akta 767) di bawah peruntukan Seksyen 7 Akta 767 tersebut yang menyatakan bahawa:
“...Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala perkara yang perlu atau suai manfaat untuk atau yang berkaitan dengan perlaksanaan fungsinya...
...kuasa Lembaga termasuklah kuasa -
...(e) untuk melantik ejen, penasihat termasuklah pakar, peguam bela dan peguam cara...”
Jadi, dengan bidang kuasa yang telah diberikan oleh LPPSA kepada peguam LPPSA tersebut, bilakah atau dalam situasi bagaimana anda akan memerlukan peguam LPPSA?
1) Sebagai pemegang pertaruhan di dalam transaksi perjanjian antara anda dan LPPSA
Di dalam transaksi perjanjian jual beli, peguam LPPSA bertugas sebagai pemegang pertaruhan akan menjadi institusi yang akan menerima wang pinjaman atau dokumen-dokumen penting terhadap harta itu sesuai dengan akujanji peguam LPPSA yang dinyatakan di dalam Borang 3 iaitu (Akujanji Pemegang Pertaruhan) sehingga terma-terma di dalam perjanjian antara LPPSA dan pelanggan LPPSA tercapai. Sebagai pemegang pertaruhan, wang pinjaman yang diterima oleh peguam LPPSA akan dimasukkan ke dalam ‘Client Account’ yang diselia mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan Peraturan Akaun Peguam.
2) Menguruskan cagaran hartanah
Perjanjian pembiayaan memerlukan harta aset dicagarkan kepada Lembaga LPPSA. Bagi tujuan ini ia memerlukan peguam LPPSA yang bertauliah untuk menyediakan dokumen berkaitan serta berurusan dengan pihak kerajaan sama ada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini termasuklah menyemak jika tanah mempunyai geran, geran tersebut di atas nama pemimjam dan kemudiaannya tanah tersebut digadaikan kepada LPPSA.
Ini dilakukan melalui borang gadaian yang didaftarkan oleh panel peguam LPPSA di PTG. Jika tanah tidak mempunyai geran maka penyerahan hak ataupun ‘assignment of rights’ tanah diberikan kepada LPPSA melalui sebuah surat Kuasa yang didaftarkan di Mahkamah.
3) Pelanggan yang ingin menebus hutang dan gadaian menggunakan Pinjaman LPPSA
Jika pelanggan menggunakan pembiayaan LPPSA bagi tujuan penebusan atau pembayaran balik hutang, maka peguam berdaftar diperlukan untuk memasukkan kaveat di atas nama pihak Lembaga LLPSA. Seterusnya wang akan disalurkan oleh LPPSA kepada Client Account atau HDA Account atau institusi kewangan atau vendor yang memegang gadaian hartanah tersebut. Jika Pelanggan ingin menjual, memindah milik atau mencagar hartanah yang digunakan sebagai cagaran kepada pembiayaan LPPSA.
Sebarang permohonan untuk menjual, memindah milik atau mencagar tanah yang telah digunakan untuk cagaran pembiayaan LPPSA perlu mendapatkan kebenaran pihak lembaga. Pihak lembaga akan mengeluarkan penyata tebus hutang untuk memaklumkan berapa nilai yang pelanggan berhutang dengan LPPSA. Bagi perkara ini, permohonan hanya dibenarkan melalui peguam.
4) Pelepasan gadaian
Jika pelanggan yang telah menyelesaikan bayaran pinjaman LPPSA, peminjam tersebut memerlukan peguam bagi menyediakan borang pelepasan gadaian dan mendapatkan pihak LPPS menandatangani borang tersebut seterusnya perlu mendapatkan geran asal dan dokumen sekuriti daripada LPPSA untuk membuat pendaftaran pengeluaran atau pelepasan gadaian LPPSA tersebut yang terdaftar di dalam geran hartanah.
Ini adalah antara-antara situasi di mana anda memerlukan peguam LPPSA maka pemilihan peguam LPPSA boleh dirujuk kepada senarai peguam panel berdaftar di laman sesawang LPPSA.



