Dalam urusan pembelian hartanah, jika anda nak mohon untuk pinjaman perumahan dengan bank, pastinya bank akan semak sama ada anda layak ataupun tidak. Jadi, satu faktor penting yang menjadi penentu kelulusan pinjaman ialah DSR (Debt Service Ratio)/Nisbah Khidmat Hutang.
Ramai pembeli rumah gagal memahami konsep ini, sedangkan ia boleh menentukan sama ada sesuatu pinjaman perumahan akan diluluskan atau ditolak. Jadi, artikel ini akan menerangkan secara ringkas apa itu DSR, kenapa bank mengambil kira DSR, dan bagaimana DSR memberi kesan dalam transaksi hartanah.
Debt Service Ratio (DSR) adalah formula nisbah yang bank gunakan untuk mengira samada seseorang tu layak ke tak untuk mendapat pinjaman. DSR juga digunakan untuk menilai risiko kegagalan bayaran balik pinjaman. Setiap bank mempunyai had DSR maksimum yang berbeza bergantung kepada profil peminjam.
Secara ringkas:
DSR = Jumlah komitmen hutang bulanan ÷ Pendapatan bulanan bersih
Bank menggunakan DSR untuk menilai kemampuan kewangan peminjam bagi membayar ansuran pinjaman perumahan secara konsisten.
Antara komitmen yang biasanya diambil kira oleh bank ialah:
Pinjaman perumahan sedia ada
Pinjaman kenderaan
Kad kredit (bayaran minimum)
Pinjaman peribadi
Pinjaman pendidikan (contoh: PTPTN)
Komitmen sebagai penjamin (guarantor)
ASB Financing
Kemudahan kredit lain Buy Now Pay Later (BNPL) tertentu
Sebagai contoh, jika pendapatan bersih bulanan anda ialah RM 5,000 dan jumlah komitmen hutang bulanan anda ialah RM 2,000, maka DSR anda adalah 40%. Kebanyakan bank di Malaysia meletakkan syarat bahawa DSR seseorang itu tidak boleh melebihi 60% bagi kelayakan pinjaman/pembiayaan.
Semakin rendah DSR anda, semakin tinggi peluang untuk pinjaman/pembiayaan diluluskan kerana ia menunjukkan bahawa anda masih mempunyai lebihan pendapatan selepas membayar komitmen hutang.
Dari sudut guaman, isu DSR bukan sekadar soal kelulusan pinjaman, tetapi boleh memberi kesan langsung kepada keseluruhan transaksi jual beli hartanah. Kebanyakan Perjanjian Jual Beli (SPA) tertakluk kepada kelulusan pinjaman perumahan atau kemampuan pembeli mendapatkan pembiayaan dalam tempoh tertentu.
Jika pinjaman gagal diluluskan akibat DSR yang tinggi, pembeli mungkin berisiko untuk kehilangan wang deposit. Namun untuk menjaga kepentingan pembeli, pembeli akan dinasihatkan untuk tandatangan Perjanjian Jual Beli setelah pinjaman bank diluluskan.
Bagi transaksi hartanah yang melibatkan pinjaman bank, SPA lazimnya mengandungi klausa bahawa Pembelian adalah tertakluk kepada kelulusan pembiayaan oleh pihak bank/institusi kewangan dalam tempoh tertentu.
Oleh itu, adalah penting untuk pembeli mendapatkan nasihat guaman awal sebelum menandatangani SPA, terutamanya berkaitan:
Klausa pembatalan (termination clause)
Tempoh kelulusan pinjaman
Hak pembeli sekiranya pinjaman ditolak
Kesimpulannya, DSR bukan sekadar penilaian kewangan oleh bank. Ia adalah faktor kritikal yang boleh menentukan sama ada sesuatu transaksi hartanah berjaya atau gagal. Dari sudut undang-undang, pembeli disarankan untuk semak DSR lebih awal dan mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani SPA.
Anda boleh semak DSR dengan menggunakan DSR Calculator di laman web Ringgitplus di link ini: https://ringgitplus.com/en/calculators/debt-service-ratio-dsr-calculator/
Penafian:
Artikel ini disediakan untuk tujuan maklumat umum sahaja dan tidak bertujuan sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza. Pembaca dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat profesional daripada peguam atau institusi kewangan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembelian hartanah atau pembiayaan.



