Pembelian hartanah merupakan satu komitmen kewangan dan undang-undang yang besar. Walaupun terdapat pembeli yang mempertimbangkan untuk menguruskan sendiri urusan jual beli tanpa melantik peguam hartanah bagi menjimatkan kos, persoalannya: adakah tindakan ini selamat dari sudut undang-undang?
Peranan Peguam Hartanah dalam Transaksi Jual Beli
Peguam hartanah memainkan peranan penting untuk memastikan kepentingan pembeli dilindungi sepanjang proses transaksi, antaranya:
Penyediaan dan Semakan Perjanjian Jual Beli (SPA)Peguam memastikan terma perjanjian adalah adil, jelas, dan mematuhi undang-undang sedia ada. Klausa berkaitan bayaran deposit, tarikh penyempurnaan, penalti kelewatan, dan serahan milikan perlu diteliti bagi mengelakkan pertikaian isu berbangkit di masa hadapan.
Semakan Status Hak Milik HartanahPeguam akan membuat carian ke atas hamilik hartanah bagi memastikan hartanah tersebut dimiliki oleh penjual yang sah, untuk mengenalpasti sekatan kepentingan ke atas hakmilik hartanah tersebut dan bebanan seperti gadaian bank atau pengkaveat pihak ketiga.
Urusan Pindah Milik dan Dokumentasi Undang-UndangProses pindah milik melibatkan penyediaan borang undang-undang, pengiraan duti setem, serta pematuhan kepada keperluan pejabat tanah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Transaksi Melibatkan Pembiayaan BankDalam kebanyakan kes, institusi kewangan mewajibkan pelantikan peguam bagi menguruskan dokumentasi gadaian dan pembiayaan. Tanpa peguam, urusan pinjaman perumahan tidak dapat disempurnakan.
Pencegahan Risiko Penipuan dan PertikaianKes penipuan hartanah, penjualan berganda, dan dokumen palsu masih berlaku. Peguam bertindak sebagai lapisan perlindungan undang-undang kepada pembeli.
Adakah Pernah Berlaku Pembelian Tanpa Peguam?
Dalam situasi tertentu seperti jual beli sesama ahli keluarga atau transaksi hartanah yang sangat ringkas, pembeli mungkin memilih untuk tidak melantik peguam. Namun begitu, pendekatan ini tetap berisiko dan tidak digalakkan, terutamanya bagi pembeli kali pertama.
Kos Peguam: Perbelanjaan atau Perlindungan?
Yuran guaman bagi transaksi hartanah di Malaysia adalah tertakluk kepada skala yang ditetapkan dan biasanya jauh lebih rendah berbanding kos yang mungkin ditanggung sekiranya berlaku masalah undang-undang selepas transaksi diselesaikan.
Kesimpulan
Walaupun pembelian hartanah tanpa peguam adalah mungkin dari sudut praktikal, ia tidak selamat dari sudut undang-undang. Melantik peguam hartanah bukan sekadar satu formaliti, tetapi satu langkah penting bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli. Nasihat profesional daripada peguam hartanah dapat mengelakkan risiko, kerugian kewangan, dan pertikaian undang-undang di masa hadapan.



