Membeli rumah adalah komitmen kewangan terbesar dalam hidup kebanyakan individu. Namun sebelum ghairah menempah rumah atau menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P), satu langkah penting yang sering diabaikan ialah menyemak laporan kredit melalui Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS). Semakan awal ini boleh menentukan sama ada impian memiliki rumah berjalan lancar atau sebaliknya.
Apakah maksud CCRIS & CTOS? CCRIS ialah sistem di bawah seliaan Bank Negara Malaysia yang merekodkan semua komitmen pinjaman individu seperti pinjaman kereta, kad kredit dan pembiayaan peribadi, termasuk corak bayaran bulanan. CTOS pula menyediakan laporan kredit yang merangkumi rekod saman atau tindakan undang-undang, status muflis atau kebankrapan serta maklumat kewangan lain yang dinilai oleh pihak bank. Kedua-dua ini digunakan oleh pihak bank untuk menilai risiko kewangan pemohon pinjaman pihak pembeli sebelum bank meluluskan permohonan pinjaman perumahan pembeli tersebut.
Mengapa perlu semak lebih awal? Pertama, untuk mengetahui tahap kelayakan kewangan sebenar pihak pembeli. Jika terdapat bayaran tertunggak atau rekod lewat bayar, pembeli masih mempunyai masa untuk memperbaikinya sebelum memohon pinjaman perumahan. Kedua, ia membantu mengelakkan risiko permohonan pinjaman ditolak selepas anda membayar wang tempahan rumah. Penolakan pinjaman bukan sahaja mengecewakan, malah boleh menyebabkan kerugian dari segi masa dan wang.
Selain itu, semakan awal memberi gambaran jelas tentang kelayakan pembiayaan pembeli sekaligus pembeli boleh merancang kewangan dengan lebih strategik. Pembeli boleh membuat pengumpulan maklumat secara terperinci berkenaan bank mana yang sesuai untuk pembeli membuat permohonan pinjaman perumahan dan berbincang dengan pegawai bank atau perunding hartanah berdasarkan profil kredit sebenar, sekali gus merancang bajet yang lebih realistik. Ini penting bagi memastikan ansuran bulanan tidak membebankan kewangan jangka panjang pihak pembeli.
Kesimpulannya, menyemak CCRIS dan CTOS sebelum membeli rumah bukan sekadar prosedur tambahan, tetapi langkah bijak untuk melindungi diri daripada risiko kewangan. Dengan persediaan awal dan rekod kredit yang baik, proses memiliki rumah akan menjadi lebih terancang, lancar dan selamat.



