Refinance rumah sering dianggap sebagai jalan keluar atau suatu penyelesaian apabila komitmen bulanan terasa semakin berat. Namun begitu, keputusan untuk refinance tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Ia perlu dilakukan pada masa yang sesuai agar benar-benar memberi manfaat.
Apa itu refinance? Refinance adalah suatu proses menukar pinjaman perumahan sedia ada kepada pinjaman baharu sama ada dengan bank yang sama atau bank lain. Tujuan kebiasaannya adalah untuk pembeli mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah, mengurangkan bayaran bulanan perumahan pembeli, salah satu cara pembeli berpeluang mengeluarkan tunai (cash-out) dan juga membantu pembeli menyusun semula komitmen bulanan dan kewangan sedia ada.
Antara masa terbaik untuk refinance ialah apabila kadar faedah pinjaman semasa lebih rendah berbanding kadar asal pinjaman. Penurunan kadar biasanya dipengaruhi oleh dasar kewangan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Jika perbezaan kadar adalah ketara, pemilik rumah boleh menikmati penjimatan dalam jangka panjang.
Selain itu, refinance juga sesuai dilakukan selepas tamat tempoh lock-in pinjaman. Jika dibuat terlalu awal, peminjam mungkin dikenakan penalti oleh pihak bank. Oleh itu, penting untuk menyemak syarat dalam perjanjian pinjaman terlebih dahulu sebelum membuat permohonan pinjaman secara refinance.
Seterusnya, apabila nilai rumah meningkat, pemilik berpeluang mendapatkan pembiayaan semula dengan terma yang lebih baik atau membuat pengeluaran tunai tambahan bagi tujuan seperti ubah suai rumah atau penyatuan hutang. Refinance juga boleh membantu mengurangkan ansuran bulanan jika tempoh pinjaman perumahan disusun semula.
Bila refinance tidak digalakkan? Refinance mungkin tidak sesuai jika baki pinjaman perumahan pembeli sudah rendah, pembeli hampir tamat tempoh pinjaman, kadar faedah baharu pembeli tidak jauh berbeza atau kos guaman & penilaian lebih tinggi dari penjimatan.
Kesimpulannya, refinance bukan untuk semua orang dan bukan pada semua masa. Masa paling sesuai untuk refinance rumah ialah apabila ia memberi penjimatan sebenar dan membantu memperkukuh kedudukan kewangan. Perancangan yang teliti dan kiraan yang tepat amat penting sebelum pembeli membuat keputusan untuk membuat permohonan pinjaman secara refinance.



